HOKI

Liga Hoki Dunia Wanita: Malaysia pamer semangat juang

Penulis Jemputan 27/06/2017 | 15:04 MYT
NEW ZEALAND 1 MALAYSIA 0
Skuad hoki wanita negara menamatkan saingan Kumpulan B, Separuh Akhir Liga Hoki Dunia Wanita dengan semangat juang tinggi apabila tewas tipis 1-0 kepada New Zealand, di Brussels, Belgium, sebentar tadi.
Gol Olivia Merry pada minit keempat permainan menjadi pemisah kepada kedua-dua pasukan. Selepas tersentak dengan gol awal itu, anak buah Dharma Raj Abdullah berhasil memperkemaskan permainan untuk mengekang asakan bertali arus lawan.
Selepas menanggung empat kekalahan, apatah lagi tewas 9-0 kepada tuan rumah, Belgium, dalam aksi terdahulu, skuad wanita negara bagaimanapun mempamerkan aksi lebih berani ketika berdepan pasukan di ranking kelima dunia itu.
Pada suku kedua, pasukan negara mempunyai peluang untuk mengikat kedudukan menerusi Hanis Nadiah Onn.
Bagaimanapun, New Zealand yang memburu jaringan besar untuk mengukuhkan kedudukan di tangga kedua kumpulan tidak berhasil biarpun menguasai sebahagian besar baki permainan.
Malaysian Tigress akan menentang Scotland dalam penentuan tempat kesembilan dan ke-10 pada Khamis ini selepas menutup kempen Kumpulan B di tangga tercorot.
Malaysia masih mampu mara ke Piala Dunia 2018 dengan syarat perlu menjadi juara dalam saingan Piala Asia.
;