HOKI
Liga Hoki Dunia: Skuad wanita negara kempunan lagi
Skuad hoki wanita negara menamatkan cabaran dalam Liga Hoki Dunia Separuh Akhir di Brussels, Belgium tanpa sebarang mata daripada lima perlawanan, namun pulang dengan lebih kaya daripada segi pengalaman dan pendedahan kepada saingan tahap tertinggi.
The Malaysian Hockey Tigress gagal menempatkan diri dalam kalangan lapan pasukan yang layak ke Piala Dunia tahun depan tetapi ini harus menandakan permulaan baru untuk mereka mengorak langkah lebih besar selepas ini.
Dalam perlawanan penentuan tempat kesembilan dan ke-10 petang semalam, skuad negara bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu tumpas 1-0 kepada Scotland.
Iklan
Perlawanan itu lebih menyerlahkan penguasaan Scotland, namun berdepan semangat melawan kental Malaysia, yang kalah dalam semua empat perlawanan terdahulunya di peringkat kumpulan.
Penjaga gol Malaysia, Farah Ayuni Yahya, diuji awal dalam perlawanan itu daripada percubaan deras Rebecca Merchant.
Kelegaan Malaysia tidak bertahan lama apabila Scotland berada di depan menerusi Sarah Robertson sebagai menyudahkan satu pukulan sudut penalti.
Malaysia tidak sekadar bertahan, sebaliknya bangkit melawan, dengan Norsharina Shabuddin dan Norfaiezah Saiuti beberapa kali menimbulkan keadaan mencemaskan kepada pertahanan lawan.
Penjaga gol Scotland, Nicola Cochrane, turut dikerah menyelamatkan satu percubaan berbahaya skuad negara.
Ketika permainan berbaki tiga minit, Malaysia dikerah bertahan dengan sembilan pemain selepas dua pemainnya menerima layangan kad kuning tetapi Scotland gagal memanfaatkan kelebihan itu untuk menambah jaringan.
“Pastinya kami banyak belajar daripada kejohanan ini,” kata pemain Scotland, Nicola Skrastin, yang membuat penampilan antarabangsanya yang ke-100 bersama pasukan kebangsaan negara itu.
Rakan sepasukannya, Kareena Cuthbert, menambah: “Kami tahu pemain-pemain Malaysia pantas tapi kami gembira dapat menamatkan kejohanan ini dengan kemenangan.
“Ia satu tempoh pembelajaran yang baik buat kami. Sepanjang kejohanan ini, kami memiliki struktur bertahan yang baik, cuma kami perlu menjaringkan lebih banyak gol.”
Keputusan suku akhir:
New Zealand 3 Itali 0
Australia 0 China 2
Belanda 2 Sepanyol 0
Korea 1 Belgium 1 (penentuan penalti 3-2)
Must-Watch Video