HOKI
Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia: TNB rampas mahkota kejuaraan daripada Maybank
Juara bertahan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia, Maybank, terpaksa berputih mata apabila mahkota kejuaraan dirampas Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi final penuh dramatik yang berlarutan sehingga ke penentuan pukulan penalti.
Maybank turun selaku pasukan pilihan utama, diperkuat dengan enam pemain kebangsaan yang beraksi di Piala Dunia pada Februari lalu.
Segalanya berjalan mengikut jangkaan apabila Maybank tiga kali mendahului permainan. Gol pembukaan dijaringkan Mohammad Kamarulzaman Kamaruddin menerusi pukulan sudut penalti, diikuti penyudah kemas Shahmie Irfan Suhaimi yang memanfaatkan kelemahan pertahanan TNB.
Iklan
Penjaring terbanyak liga, Muhamad Izham Azhar, kemudian meledak gol ketiga Maybank. Namun kelebihan itu tidak bertahan lama selepas TNB bangkit menyamakan kedudukan di suku ketiga dan keempat, sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 2-1 melalui penentuan pukulan penalti .
"Memang nak kata misi balas dendam boleh jadi juga bagi kami sebab sebelum ini kita bertemu dengan Maybank mesti kita kena rembat, empat atau tiga margin gol.
"Kalau kita adakan perlawanan persahabatan pun sebelum ini pun kita selalu kena. Jadi di situ saya rasa mereka belajar dan baca apa yang (Maybank) buat.
"Walaupun pusingan awal kita tewas 3-6, saya percaya yang bertahan akan menang perlawanan. Pertahanan bagus pasti akan menang, saya pun bekas pemain kebangsaan kan?" kata Mohd Madzli Ikmar selaku ketua jurulatih hoki dalam dewan TNB.
Detik bersejarah TNB muncul juara disulami memori duka buat kapten pasukan, Shazril Irwan Nazli, yang mengalami kecederaan di bahagian bibir dalam aksi liga terdahulu.
Insiden tersebut dibalas dengan kejayaan manis, apabila TNB akhirnya berjaya menjulang trofi kejuaraan liga pada penampilan kedua mereka dalam Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia.
"Alhamdulillah, walaupun dekat liga saya kena dekat muka ini untuk jahit dan kena masuk wad ketika itu tapi alhamdulillah di perlawanan akhir kita berjaya lakukan segalanya untuk menang.
"Sebelum ini pernah kena juga sebab jika main hoki pasti anda akan lalui pengalaman itu.
"Walaupun tahun lepas pertama kali sertai pusingan kelayakan kalah dan final kalah namun tahun ini kelayakan kalah dan alhamdulillah peringkat akhir kita menang," luah Shazril Irwan Nazli selaku kapten hoki dalam dewan TNB
Must-Watch Video