HOKI

LHM: TNB kenduri gol atasi Matador di Bukit Jalil

Saufi Tahir 19/01/2025 | 12:39 MYT
Juara bertahan, skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan rentak cemerlang selepas mengetepikan cabaran daripada Matador Hockey Club dengan kemenangan 6-1 dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2025 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Dalam awal permainan menyaksikan lawan daripada Pakistan yang terkenal dengan transisi pantas dan permainan agresif itu seakan hampir menggugat keampuhan benteng pertahanan TNB menerusi corak permainan berintensiti tinggi.
Namun, gandingan duo berbisa, Syed Syafiq Syed Cholan dan Jang Jong Hyun berjaya mengawal rapat di hadapan gawang untuk memastikan kesemua peluang yang diberikan gagal untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Usai 'mood pemanasan badan', giliran watak utama di bahagian jentera serangan, Azrai Aizad untuk mencipta gol pembuka tirai yang kemudiannya disambut dengan gol kedua dan ketiga untuk TNB terus mendahului untuk selesa dengan kemenangan besar 6-1.
Secara keseluruhan, rekod di atas kertas yang jelas lebih memihak kepada TNB susulan lebih dominan untuk mematahkan percubaan dan peluang buat pasukan lawan mencipta sebarang serangan.
"Kami sering bertukar corak permainan kami kerana ada pemain berkaliber serta boleh beraksi dengan pelbagai corak permainan bergantung kepada pasukan.
"Jadi setiap aksi kami akan tukar corak permainan," kata jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini.
Dalam pada itu, jurulatih Martador, K. Yogeswaran, kurang berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan pemain tempatan susulan tidak memberikan sokongan kepada pemain import.
"Saya kurang berpuas hati dengan permainan kami khasnya pemain tempatan dan tidak beri sokongan kepada pemain import selain kami kekurangan pemain.
"Kami akan cuba beri permainan yang lebih baik dalam aksi seterusnya." tambahnya.
#Hoki #TNB #LHM #Matador
;