HOKI
LHM: Shahril terpaksa lupakan saingan
Penyerang skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB), Shahril Saabah, sekali lagi terpaksa 'berputih mata' untuk beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019.
Shahril gagal disenaraikan dalam skuad TNB kerana masih belum pulih daripada kecederaan paha kiri yang dialami ketika membantu skuad hoki negara meraih tempat ketiga trofi Juara-Juara Asia 2018 (ACT) di Oman, Oktober lalu.
Shahril juga antara pemain skuad kebangsaan yang terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 18 pemain oleh jurulatih negara, Roelant Oltmans, untuk Piala Dunia 2018.
Namun, kecederaan itu tidak menghalang Shahril untuk membantu daripada segi persediaan taktikal TNB bagi misi meletakkan pasukan itu di kedudukan teratas LHM 2019.
"Tiada rezeki buat saya tahun ini untuk beraksi dalam kejohanan pertama 2019. Saya akan fokus dalam kejohanan seterusnya," kata Shahril.
Sementara itu, jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, mahu Shahril memberi tumpuan penuh kepada sesi pemulihan yang dijangka sehingga bulan depan supaya dapat kembali menyertai skuad kebangsaan secepat mungkin.
"Saya harapkan Shahril cepat sembuh. Dia perlu memandang ke depan untuk kariernya dalam skuad kebangsaan kerana sudah lama tidak beraksi. Bahaya kerana prestasinya akan jatuh jika tidak pulih," ujar Nor Saiful.