Skip to main content

Sukan Lain

LHM: KLHC terus beri tekanan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

klhc280118.jpg
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana, Pasukan Hoki Terengganu (THT), apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), hari ini.

Dengan kemenangan itu, KLHC kini menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 17 mata, ketinggalan hanya satu mata di belakang THT ketika masih berbaki dua perlawanan lagi.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini, UniKL mengejutkan KLHC apabila berada di depan seawal minit keenam selepas Glenn Stewarts Turner melakukan tampanan cantik menewaskan penjaga gol, Roslan Jamaluddin.

Bagaimanapun, KLHC tetap tenang dan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Harvinder Singh pada minit ke-15.

Bersambung separuh masa kedua, tonggak import dari Korea Selatan, Lee  Nam Yong, meletakkan KLHC di depan apabila tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-32.

Pakar pukulan sudut penalti KLHC, Jang Jonghyun, mengukuhkan kedudukan pasukannya dengan menyumbang gol ketiga pada minit ke-45.

THT pula kekal menduduki tangga teratas liga selepas menewaskan Maybank 2-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat, menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-35 dan 38 sementara gol tunggal Maybank disumbangkan oleh Mohamad Faid Farhard Mohamad Shah menerusi gol padang pada minit ke-15.

Sementara itu, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi muncul wira TNB apabila meledak hatrik ketika membantu pasukannya membelasah TNB Thunderbolts 6-0 untuk terus mencerahkan peluang mereka merebut kejuaraan liga.

"Nampaknya keyakinan dalam pasukan semakin tinggi kerana kami sememangnya masih berpeluang untuk memenangi liga.

"Saya harap rakan sepasukan dapat memberi tumpuan kepada baki dua perlawanan bertemu KLHC dan UniKL. Walaupun kami tidak menggunakan pemain import, ia bukanlah masalah besar apabila bertemu kedua-dua pasukan itu.

"Sudah pasti kami akan cuba beraksi sebaik mungkin dan mengelak daripada mencicirkan mata," kata Nik Muhammad Aiman.

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meletakkan TNB di depan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti.

 Syarman Mat Tee menambah gol kedua hasil jaringan padang pada minit ke-36 sebelum Nik Aiman menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-39, juga menerusi gol padang.

TNB terus garang dengan menambah tiga lagi gol menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-40 dengan Nik Aiman mencetak hatrik dengan gol  pada minit ke-54 dan pukulan sudut penalti pada minit ke-59.
 
Keputusan hari ini

TNB 6 TNB Thunderbolts 0

UniKL 1 KLHC 3

THT 2 Maybank 1

Advertisement

Must Watch Video