Skip to main content

Sukan Lain

LHM: KLHC harapkan keajaiban

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

chiowchuan270118.jpg
Dengan hanya berbaki tiga lagi perlawanan sebelum saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) menutup tirai, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mengharapkan keajaiban dalam misi
menghambat pendahulu Terengganu Hockey Team (THT), selepas terpaksa melupakan khidmat dua tonggak, Muhammad Razie Abdul Rahim dan Izad Hakimi Jamaluddin.


Razie dan Izad tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Maybank semalam kerana mengalami kecederaan dan memerlukan rawatan lanjut.

KLHC sedang berusaha untuk mempertahankan kejuaraan yang dimiliki musim lalu, namun kedudukan dalam liga menyaksikan mereka berada di tempat kedua, dengan dipisahkan hanya satu mata dengan THT yang menghuni tangga teratas dengan 15 mata.

"Kami menghadapi tiga perlawanan yang penting selepas ini. Kami perlu meraih kemenangan untuk menjuarai saingan liga musim ini," kata jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan.

Dengan berbaki tiga lagi perlawanan, persaingan sebenarnya masih terbuka buat empat pasukan teratas -- THT, KLHC, TNB dan UniKL kerana masing-masing hanya dipisahkan dengan satu mata.

KLHC seterusnya akan melayan UniKL esok selepas pertemuan pada 17 Januari lalu menyaksikan mereka seri 3-3.

"Kami perlu bersaing hingga perlawanan terakhir. Kami memiliki pemain import yang berkualiti dan saya mengharapkan pemain-pemain tempatan dapat meningkatkan prestasi mereka," tambah Chiow Chuan.
 

Advertisement

Must Watch Video