HOKI
LHM: Fitri Saari kembali ketuk pintu skuad hoki kebangsaan
Arkitek kepada kejayaan luar biasa Terengganu Hockey Team (THT) dalam mendominasi Liga Hoki Malaysia (LHM) sudah pasti terarah kepada kapten pasukan, Fitri Saari, yang memainkan peranan penting selaku perancang utama pasukan.
Sensasi pemain itu yang menjadi nadi penggerak jentera serangan THT itu membuktikan bahawa dia memiliki nilai tambah dalam permainannya apabila menjaringkan enam gol musim, malah kesemuanya merupakan gol padang.
Fitri turut berkongsi bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, pintu untuk kembali ke pangkuan skuad negara kini kembali terbuka selepas pertemuan bersama Arul Selvaraj pasca kejayaan mengetuai kejuaraan 'treble' bersama THT termasuk kejayaan Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
"Selepas 10 tahun THT beraksi dalam LHM, ini kali pertama THT memenangi treble.
"Saya sudah berbincangan dengan Arul dan saya rasa mungkin dipanggil balik ke pasukan kebangsaan.
"Saya masih relevan untuk skuad kebangsaan, saya telah buktikan dapat membantu pasukan untuk kejuaraan treble tahun ini.
"Kalau pergi ke ujian kecergasan, saya rasa tiada masalah dan saya akan buat yang terbaik," katanya selepas perlawanan.
Turut mengukir sejarah tersendiri ialah ketua jurulatih THT, Seo Jongho, yang muncul pengendali pertama menjulang kejuaraan selaku pemain dan jurulatih bersama THT.