HOKI

LHM: Apa status UniKL?

Ammar Hakim 01/02/2022 | 11:31 MYT
Menjelang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022, pada ketika sebahagian besar pasukan giat menjalani persiapan pra musim -- desas desus penglibatan juara bertahan, UniKL jadi tanda tanya.
Dikhabarkan masalah dalaman yang melanda pengurusan tertinggi pasukan tersebut bakal membawa kepada kebarangkalian pasukan gergasi itu tidak akan beraksi pada kempen musim ini.
Tanda tanya itu jadi bualan di bibir peminat sukan hoki negara selepas juara LHM serta juara Piala TNB musim lalu itu belum membuat sebarang persiapan serius menjelang musim 2022 yang bakal bermula.
Malah satu persatu nama-nama besar sudah meninggalkan kelab itu demi kelangsungan kerjaya seperti, Sukri Mutalib -- berhijrah ke Terengganu Hockey Team (THT) serta Mohd Ashran Hamsani memperkuatkan Maybank.
Ada juga perkhabaran yang mengatakan (UniKL) tetap akan mewarnai LHM namun bakal mempertaruhkan pemain terdiri daripada staf mahupun pemain semi profesional.
Sementara itu, ketua jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam, enggan mengambil pusing status penglibatan UniKL sebaliknya fokus kualiti lawan mereka demi memburu kedudukan dua terbaik seperti yang ditetapkan pihak pengurusan.
Bekas pemain tengah UniKL, Mohd Ashran Hamsani, lega tindakannya untuk meninggalkan juara bertahan LHM tepat pada masanya.
Ashran mewakili pasukan tersebut hampir sedekad lamanya dan secara peribadi mengakui kecewa jika bekas pasukannya itu tidak akan beraksi dalam saingan LHM musim ini.
Untuk rekod, Ashran muncul antara tonggak utama UniKL menjulang kejuaraan treble musim 2020 selain muncul juara LHM serta juara Piala TNB musim lalu.
;