HOKI

LHM: Amin pasang harapan besar dengan skuad muda

Shaiful Shamsudin 16/02/2022 | 12:00 MYT
Ketua jurulatih TNB Thunderbolts, Muhammad Amin Rahim, melaungkan amaran bahawa barisan muda kendaliannya bukan sekadar pasukan pelengkap jadual Liga Hoki Malaysia (LHM), sebaliknya pencabar kelompok atasan.
Nada penuh keyakinan Amin itu berdasarkan barisan pemainnya yang rata-rata daripada kancah Liga Hoki Remaja (LHR) yang lalu selain diperkuatkan tiga tonggak pasukan Piala Dunia Remaja sambil ditunjangi lapisan terbaik daripada pasukan di bawah naungan Thunderbolts daripada SSBJ, AHP-SSP-MSP, SSTMI dan Anderson.
"Gabungan 3-4 pemain ini, saya anggap mereka ini sebagai ketua untuk membimbing pemain daripada LHR.
"Saya letakkan sasaran peribadi untuk melihat pemain berikan saingan yang baik dan capai kedudukan empat teratas," katanya.
Jurulatih itu berdepan tugas getir untuk memulakan kempen LHM apabila berdepan UiTM -- yang diperkuatkan dengan sebilangan besar pemain daripada skuad juara bertahan, UniKL, selain bekas pemain kebangsaan dan antaranya Adrian Andy Albert, Azri Hassan serta Faridzul Afiq -- Jumaat ini.
Bagi kapten TNB Thunderbolts, Muhammad Faris Harizan, hasrat itu tidak mustahil direalisasikan tetapi sebagai pasukan kurang berpengalaman, mereka perlu melipat gandakan usaha.
"Berdasarkan kualiti yang ada, kami mampu capai apa yang kami nak. Kedudukan empat teratas bukan mudah tapi kami sedia 200 peratus," katanya pula.
#Hoki #LHM #Liga hoki Malaysia
;