Skip to main content

Bola Keranjang

Legenda LA Lakers, Bryant, terkorban dalam nahas helikopter

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kobe.jpg
Legenda bola keranjang Los Angeles Lakers, Kobe Bryant, 41, dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, Gianna, terbunuh dalam satu nahas helikopter, demikian lapor akhbar-akhbar tempatan Amerika Syarikat (AS).

Rangkaian berita AS, TMZ, melaporkan Bryant terlibat dalam satu nahas di Calabasas, California kira-kira jam 10 pagi semalam (2 pagi tadi waktu Malaysia).

Ketika dihubungi Omnisport, Jabatan Sheriff Los Angeles mengesahkan lima mangsa terkorban dalam kemalangan itu dan tiada mangsa yang terselamat, namun masih belum mengesahkan identiti sebarang mangsa.

TMZ berkata beberapa saksi di tempat kejadian mendengar bunyi enjin helikopter yang terhenti sebelum ia terhempas dan terbakar.

Bryant menghabiskan 20 tahun di Lakers sekitar 1996 hingga 2016 dan tidak pernah menyertai pasukan lain sepanjang baki karier profesionalnya.

Pemenang lima kali kejuraan NBA itu dipilih dalam kalangan 13 pemain terbaik keseluruhan Charlotte Hornets pada 1996 sebelum berpindah ke Lakers.

Dia juga disenaraikan sebanyak 18 kali dalam pasukan All-Star, 17 kali berturut-turut pada 2000 hingga 2016, selain turut memenangi dua pingat emas Sukan Olimpik.

Lakers juga akan melupuskan kedua-dua nombor jersi yang pernah dipakainya -- jersi nombor 8 dan 24 -- sekali gus menjadi satu-satunya pemain yang pernah menerima penghormatan berkenaan sepanjang sejarah pasukan itu.




Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video