BERBASIKAL
Lebih baik saya hijrah ke TSC, kata Adiq
Penyertaan dalam beberapa perlumbaan di Eropah menjadi antara tarikan buat Mohammed Adiq Husainie Othman untuk beralih angin menyertai Team Sapura Cycling (TSC) bagi musim 2018.
TSC merupakan pasukan profesional keempat yang disertai Adiq selepas Drapac Porsche Cycling, Champion System dan Terengganu Cycling Team (TSG).
Walaupun baru sahaja ditubuhkan tahun lalu dan masih membina reputasi mereka sendiri, Adiq menganggap TSC sebagai pasukan yang sesuai buat kariernya.
Malah, pelumba berusia 26 tahun itu tidak sabar untuk kembali menguji kemampuan saingan di Eropah selepas kali terakhir terbabit di sana menerusi pasukan Drapac.
"Untuk tahun ini, nampaknya TSG ada sedikit konflik dengan saya. Saya rasa lebih baik saya berhijrah ke TSC," ujarnya.
Sepanjang empat musim bersama TSG, Adiq meraih beberapa kejayaan dan yang paling diingati sudah semestinya Pelumba Asia Terbaik dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016.
Sementara itu, tahun lalu menyaksikan dia dihimpit masalah kecederaan sebelum berjaya meraih kemenangan satu peringkat dalam Jelajah Malaysia.
"Sudah lama saya tidak menang peringkat perlumbaan, itu kali pertama saya menang dalam Jelajah Malaysia. Ia satu pencapaian besar pada tahun lalu selepas mengalami dua kecedaaran.
"Saya juga membuktikan umur tidak menjadi penghalang untuk saya lebih matang dalam perlumbaan," katanya lagi.