Pelari menara negara, Soh Wai Ching, gembira apabila menerima tajaan baru selama setahun bernilai RM111,600 daripada Better Malaysia Foundation (BMF).
Perjalanan karier Wai Ching untuk bergelar pelari menara nombor satu dunia secara bersendirian telah berhasil menarik minat Pengerusi BMF, Tan Sri Vincent Tan.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Yeoh Pek Xian, Wai Ching turut berkongsi bahawa dia kini sedang menjalani persiapan menjelang perlumbaan National Vertical Marathon di Singapura bulan depan sambil akan turut membimbing dua rakan pelarinya, Low Keng Yik dan Chin Hong Zhang, dalam perlumbaan itu.
"Saya sememangnya amat berbangga dan gembira dapat pulang ke Malaysia dan menerima tajaan daripada BMF menerusi Tan Sri Vincent Tan.
"Saya amat berbesar hati dan bersyukur dapat sokongan daripada usahawan berjaya di Malaysia ini.
"Ia menjadi satu inspirasi untuk saya melakukan lebih baik dalam larian menara ini dengan sokongan berkenaan.
"Untuk perlumbaan di Singapura kali ini, saya masih belum mendapat butiran terperinci tentang bangunan di sana, jadi saya hanya mahu mencuba untuk memenanginya dan memecahkan rekod baru di sana.
"Saya juga berharap agar rakan sepasukan saya dapat melakukan yang terbaik untuk mengisi kedudukan tiga teratas," katanya.
Muzaffar Musa
Thu Jun 30 2022