Larian Menara Kebangsaan: Soh Wai Ching tutup kempen 2024 dengan kemenangan di Genting Highlands
Najmi Iman
Disember 15, 2024 19:00 MYT
Disember 15, 2024 19:00 MYT
Pelari menara kebangsaan, Soh Wai Ching, menjuarai edisi ketiga Kejohanan Kebangsaan Larian Menara Malaysia dengan catatan 5 minit dan 48 saat di Genting Highlands, hari ini.
Sebagai rekod, itu adalah penyertaan terakhirnya untuk menutup kempen tahun 2024 tatkala sudah memenangi 29 daripada 38 pertandingan yang disertainya tahun ini.
"Hari ini saya habiskan larian setinggi 50 tingkat dengan catatan yang membanggakan meskipun kurang lapan saat daripada sasaran sebenar tetapi sangat mencabar," katanya kepada wartawan Astro Arena, Hanis Natasya.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Hazim Zuhairi, menamatkan larian di tempat ketiga dengan rekod 6m 38s.
Menurut Hazim, larian itu cukup mencabar kerana kekurangan oksigen menyukarkan pernafasannya sewaktu mendaki ketinggian bangunan 1600 meter.
"Memang sangat susah kerana kami berada di ketinggian 1600m daripada paras laut, jadi oksigen sangat kurang.
"Begitupun, Alhamdulillah dapat lepasi sasaran bawah tujuh minit," katanya.