Lebih 600 pelari telah mengesahkan penyertaan dalam edisi kedua Larian 10 kilometer (km) Hongkod Koisaan yang bakal berlangsung pada 23 Julai depan.
Presiden Majlis Belia, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Ceasar Mandela, berkata beliau masih berharap jumlah penyertaan itu akan bertambah dalam beberapa hari ini.
"Kami berharap jumlah penyertaan akan mencapai sasaran antara 800 hingga 1,000 peserta, sama dengan jumlah tahun lalu.
"Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua peminat sukan larian agar menyertai serta memeriahkan lagi kejohanan ini kerana larian ini tidak ditetapkan had peserta," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.
Tambah beliau, idea untuk menggunakan nama Hongkod Koisaan adalah bagi menarik lebih ramai belia menyertainya di sampng mahu mereka lebih mengenali nama Hongkod Koisaan yang juga pusat kebudayaan KDCA di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Ceasar bersama koordinator perlumbaan yang juga Pengarah Urusan Casero Events, Steve Johnny Mositun, membuat kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, di pejabatnya, baru-baru ini.
"Kami sangat berterima kasih kepada beliau dan juga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana meluluskan serta menyokong penganjuran larian ini."
Sukan Lain
Larian Hongkod Koisaan: Lebih 600 sahkan penyertaan
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena