Bekas atlet dekatlon negara, Abdul Malik Mohd Tobias, sedia berkhidmat jika Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menawarkan tugas selaku jurulatih kepadanya bagi saingan dekatlon dan heptatlon untuk tujuan pembangunan atlet kebangsaan.
Menurutnya, bagi sukan yang tidak mendapat perhatian secukupnya seperti dekatlon, heptatlon serta lari jarak sederhana dan jauh, pelantikan jurulatih sepatutnya sudah lama berlaku.
Selain boleh membentuk atlet negara, pada suatu masa dahulu Malaysia pernah mendominasi acara-acara itu dengan melahirkan atlet seperti dirinya sendiri, Datuk Zaiton Othman, M. Ramachandran dan G. Saravanan.
Buat masa ini, Malik belum menerima apa-apa perkhabaran, namun tidak menolak sebarang tawaran daripada badan induk itu dalam membantu meningkatkan pembangunan sukan negara.
"Dalam senario sukan (olahraga) ketika ini, Malaysia hanya fokus kepada beberapa acara sedangkan acara seperti jarak jauh pernah didominasi skuad negara.
"Mungkin sudah tiba masanya kembali fokus kepada dekatlon dan heptatlon selain acara-acara yang lain," katanya.
Daripada pemerhatiannya, Malaysia masih mempunyai atlet heptatlon yang boleh diketengahkan bakatnya selepas menjadi salah seorang jurulatih rujukan atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin.
"Atlet tidak mempunyai banyak kejohanan untuk disertai dan apabila atlet menyertai temasya sukan, ia tidak sama dengan kejohanan dekatlon dan heptatlon.
"Itulah sebabnya dalam Sukan SEA, atlet negara mampu menyerlah tetapi kalau acara-acara itu disatukan, beberapa faktor akan mempengaruhi.
"Untuk mahir dalam ketujuh-tujuh acara, ia akan mengambil masa yang lama. Jadi, atlet sepatutnya sudah bersedia untuk menghadapi acara-acara seperti itu, begitulah kejohanan-kejohanan di Eropah diadakan," tambahnya.
Sementara itu, atlet heptatlon negara, Norliyana, yang meraih pingat perak dalam Sukan SEA Filipina minggu lalu gembira dengan perkhabaran KOM yang bercadang untuk melantik jurulatih.
Sebelum ini, atlet berumur 28 tahun itu dengan inisiatif sendiri mendapatkan khidmat jurulatih berbeza meskipun tidak tetap bagi membantunya menghadapi kejohanan.
"Apabila (pelantikan jurulatih) diketengahkan, ia bagus untuk saya dan atlet heptatlon negara yang lain," katanya.
Ini perkara yang dinanti-nantikannya berikutan dia percaya ketiadaan jawatan berkenaan adalah kerana dia merupakan satu-satunya atlet heptatlon yang mewakili negara.
"Saya mungkin akan berlatih sepenuhnya di bawah jurulatih yang dilantik.
"Saya sedia berikan komitmen penuh dan tiada masalah untuk berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil setiap hari."
Penulis Jemputan
Wed Dec 18 2019