Skip to main content

Hoki

Kumar mohon direhatkan daripada misi di Dhaka

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

27217vanhuizen.jpg
Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, mengumumkan skuad untuk aksi pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh tanpa penjaga gol utama, S. Kumar.

Senarai 18 pemain ke Dhaka menyaksikan ketiadaan beberapa pemain utama, termasuk penjaga gol itu.

Pemain kelahiran Tampin, Negeri Sembilan itu memohon untuk direhatkan kerana menunggu kelahiran bayi sulungnya, sekali gus memberi peluang kepada Mohd Hafizuddin Othman dan Mohd Hairi Abdul Rahman.

"Situasi sama ketika Piala Sultan Azlan Shah, tahun lalu, juga dalam perlawanan terakhir Jelajah Asia di mana Kumar mengalami kecederaan. Hafizuddin dan Hairi perlu bermain.

"Maka, ini peluang sekali lagi untuk mereka. Mereka gigih menjalani latihan dan peluang bermain muncul. Saya percaya dan yakin mereka mampu beraksi baik kerana mereka berlatih keras sejak 15 bulan lalu," kata Van Huizen. 

Kumar pernah diumumkan sebagai Pemain Terbaik Asia pada 2010 dan dinobatkan penjaga gol terbaik dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Selain Kumar, penyerang, Firhan Ashaari turut diketepikan kerana melangsungkan perkahwinan sementara Mohd Haziq Shamsul belum pulih daripada kecederaan hamstring.

Skuad negara akan berlepas ke Dhaka esok dan akan berdepan China untuk aksi persahabatan sebelum memulakan kempen Liga Hoki Dunia, 4-12 Mac ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Oman, Fiji dan tuan rumah, Bangladesh.

Dua pasukan terbaik akan layak secara automatik ke separuh akhir kejohanan itu, sementara pasukan berada di tangga ketiga perlu menunggu keputusan kejohanan lain untuk meneruskan kemaraan.

Senarai pemain:

1. Hafizuddin Othman (GK)
2. Hairi Abdul Rahman (GK)
3. Razie Rahim
4. Sukri Mutalib (C)
5. Izad Hakimi
6. Najmi Farizal
7. Faiz Helmi Jalil
8. Marhan Jalil
9. Nabil Fiqri 
10. Fitri Saari
11. Meor Muhamad Azuan
12. Azri Hassan
13. Joel Van Huizen
14. Nik Muhammad Aiman
15. Tengku Ahmad Tajuddin
16. Shahril Saabah
17. Rashid Bahrom
18. Faizal Saari

Advertisement

Must Watch Video