Skip to main content

Sukan Lain

Kuala Terengganu juara Kejohanan Balapan & Padang MSST

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kt1.jpg
Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Terengganu (MSSDKT) merampas gelaran juara keseluruhan Kejohanan Balapan & Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) 2017.

Pungutan keseluruhan 20 pingat emas, 17 perak dan 16 gangsa membolehkan kontinjen MSSDKT mengetepikan juara bertahan, MSSD Setiu, di kedudukan kedua dengan 19 pingat emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

Tempat ketiga menjadi milik MSSD Kuala Nerus yang mengutip 18 pingat emas, 14 perak dan enam gangsa.

Selaku juara, MSSDKT membawa pulang hadiah kemenangan RM500 dan trofi iringan.

Atlet MSSD Kemaman, Ahmad Zakwan Iddin Alias, pula diumumkan sebagai Olahragawan manakala Noor Faizatul Natasha Mohd Bakri (MSSD Kuala Nerus) dijulang selaku Olahragawati, dengan masing-masing memenangi RM200 serta trofi iringan.

Sebanyak 12 rekod baharu turut diperbaharui sepanjang empat hari kejohanan itu.

Kategori perempuan 15 tahun menyaksikan tiga rekod dipecahkan melalui Nurul Akidah Jaafar (MSSD Besut) dalam acara lontar peluru 3kg, Siti Aina Saudah Alias (MSSD Kuala Nerus) acara 800m dan kuartet MSSD Setiu dalam acara 4x100m.

Tiga rekod baharu turut dicatatkan dalam kategori lelaki 15 tahun, dengan dua rekod dilakukan Olahragawan, Ahmad Zakwan, dalam acara lontar peluru 4kg dan lempar cakera 1kg serta Muhammad Syakir Daniel Fauzi (MSSD Marang) dalam acara 200m.

Turut merakam rekod baharu melalui kategori perempuan 18 tahun ialah Noor Faizatul Natasha (100m lari berpagar), Nur Afiqah Muqsit (MSSD Hulu Terengganu) dan Noer Fatimah Al Zahra Hassan (MSSD Besut), masing-masing dalam acara lontar peluru 4kg.

Kategori tumpuan lelaki 18 tahun pula menyaksikan dua rekod baharu terhasil, iaitu dalam acara 4x100m oleh kuartet MSSD Kuala Terengganu dan Muhammad Alif Najmi Radzuan (MSSD Hulu Terengganu) dalam acara 3,000m lari berhalangan.

Atlet MSSD Besut, Muhammad Islahuddin Mohd Rosdi, pula memperbaharui rekod dalam kategori lelaki terbuka keseluruhan dalam acara octathlon.

Advertisement

Must Watch Video