GOLD COAST 2018

Kuala Lumpur mampu anjur Sukan Komanwel 2026

Penulis Jemputan 12/04/2018 | 10:38 MYT
Kuala Lumpur mempunyai kemampuan untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026, namun ia bergantung kepada iltizam politik, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.
Beliau berkata keputusan terletak pada kerajaan yang akan dipilih dalam pilihan raya umum ke-14, 9 Mei ini, sama ada mahu membidanya atau tidak.
“Kami boleh membantu mereka dan mengemukakan satu bidaan yang baik.
“Sementelah lagi Persekutuan Sukan Komanwel dalam usaha mengelakkan proses bidaan langsung yang melibatkan kos yang sangat tinggi. Mereka mahu secara rundingan dan pada masa sama menimbanng kelayakan hos-hos berpotensi,” katanya dalam sidang media mengenai pencapaian kontinjen Malaysia hari ini.
Tunku Imran berkata daripada segi komuniti sukan tempatan, Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
“Durban menarik diri daripada penganjuran edisi 2022 selepas mereka gagal menepati tarikh akhir pembiayaan. Justeru, ini bukan persoalan sama ada kita berkemampuan atau tidak untuk menganjurkannya tetapi sama ada kita mahu atau tidak untuk menjadi tuan rumah sekali lagi,” katanya.
Kuala Lumpur adalah tuan rumah Sukan Komanwel 1998.
-- BERNAMA
;