Tempoh jaminan 48 jam yang disuarakan Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard, untuk menyelesaikan kemelut rekod kebangsaaan acara 100 meter yang dipecahkan oleh ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, pada Oktober lalu telah berakhir.
Terdahulu, pemenang pingat perak Sukan Asia 2022 itu memecahkan rekod berusia 31 tahun dalam acara tersebut dengan catatan 11.49 saat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series V di Stadium Tuanku Syed Putra.
Perkembangan terkini mengenai isu tersebut, Olahraga Dunia (WA), masih belum mengiktiraf rekod tersebut dalam kemas kini terbarunya.
Ini bermakna, pelari legenda negara, G. Shanti, masih pemegang rekod tersebut dengan catatan 11.50 yang dilakukan di Kuala Lumpur.
"Sudah tentu saya agak terkilan kerana bukan mudah untuk memecahkan rekod. Selain daripada bekerja keras, saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.
"KOM sudah menghubungi saya untuk menyelesaikan dengan menghantar dokumen secara teliti.
"Walaupun hanya satu saat, tetapi rekod itu sangat bernilai buat saya," katanya di Nadi Arena.
Najmi Iman
Mon Jan 06 2025