SUKAN LAIN

Kon Lee terima keputusan PBJM dengan hati terbuka

Penulis Jemputan 06/01/2019 | 12:03 MYT
Kejohanan Bola Jaring Jemputan Empat Negara bulan depan akan menjadi tugasan terakhir buat ketua jurulatih skuad negara, Choo Kon Lee, selepas khidmatnya tidak disambung menjelang Sukan SEA Filipina, Disember depan.
Kon Lee dilantik sebagai ketua jurulatih negara pada Disember 2017 bagi menggantikan jurulatih kelahiran Australia, Stacey Robinson.
Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) sedang merancang untuk mendapatkan sentuhan jurulatih dari luar negara bagi program Sukan SEA edisi ini.
Kon Lee, bagaimanapun, tidak terkilan dengan keputusan itu kerana percaya dengan percaturan badan induk itu dalam memastikan misi mempertahankan pingat emas yang diraih dalam edisi Kuala Lumpur 2017 tercapai.
"Saya tidak terkilan atau sedih kerana kontrak tidak disambung.
"Saya memberikan sokongan penuh terhadap perancangan yang disediakan PBJM itu," katanya.
Menjelang kejohanan jemputan di Hong Kong itu, Kon Lee mahu barisan pemainnya menjadikan saingan itu sebagai pentas mendapatkan momentum selepas mereka tidak terlibat dalam sebarang aksi kompetitif sejak September tahun lalu.
"Masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran.
"Ia disebabkan tempoh latihan yang tidak mencukupi.
"Mereka baru kembali daripada waktu berehat dan kami hanya mempunyai dua sesi latihan menjelang kejohanan itu," tambahnya.
;