The Knights Award: Astro terus cemerlang, rangkul anugerah Rangkaian Media Terbaik Sepanjang Masa


Oktober 21, 2024 23:35 MYT
Astro Malaysia Holdings Bhd terus mengorak kejayaan sebagai syarikat penyedia kandungan dan hiburan terkemuka negara, apabila dinobatkan 'Rangkaian Media Terbaik Sepanjang Masa' pada Majlis Penganugerahan The Knights Award Musim Ketiga baru-baru ini.
Pengarah Kawal Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro, Rita Irina Abd Wahab menjelaskan, kejayaan itu bukan sekadar anugerah, tetapi cerminan terhadap perjalanan transformasi Astro yang berterusan selama bertahun-tahun, tidak gentar melakukan keputusan yang berani serta pemahaman mendalam terhadap kehendak audiens.
Katanya, ia juga merupakan usaha gigih pasukan inovasi, pencipta kandungan, dan sering memandang ke hadapan serta bekerja dengan satu tujuan, untuk memastikan Astro berada di barisan hadapan media.
“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini, tetapi kami tahu bahawa ukuran kejayaan sebenar adalah apa yang akan datang.
“Kami terus berusaha untuk membuka potensi platform kami dan Team Astro, dan anugerah ini memberi inspirasi kepada kami untuk berusaha lebih keras, untuk lebih berani dalam visi kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin
Untuk rekod, The Knights Award, yang menghimpunkan penyertaan lebih dari 30 buah negara, meraikan pencapaian global telah menetapkan penanda aras baharu dalam industri berkaitan.
Kemampuan Astro untuk menggabungkan audiens tempatan dan global, sama ada melalui kandungan, perkongsian, atau inovasi telah menjadi pemangkin untuk syarikat ini bertahan dan terus mekar dalam landskap media yang berubah dengan pesat.
Tahun 2024 juga menyaksikan kejayaan Astro memikat 15.4 juta penonton di seluruh negara, penyiaran antara sukan terbesar di dunia seperti UEFA Euro 2024, Copa America 2024 dan Sukan Olimpik Paris.
Katanya, pencapaian tersebut hanya mewakili sebahagian kecil daripada misi Astro yang lebih luas, iaitu untuk membawa kandungan terbaik dunia ke rumah Malaysia, sambil mengangkat identiti budaya dan hiburan Malaysia di persada antarabangsa. - Awani
#Astro
;