Skuad sepak takraw negara muncul naib juara acara berpasukan lelaki Kejohanan Dunia Sepak Takraw King's Cup selepas tewas 0-2 kepada tuan rumah, Thailand, dalam aksi final di Korat sebentar tadi.
Membariskan Syahir Rosdi (tekong), Muqhlis Borhan (pengumpan) dan Hairol Zaman Hamir Akhbar (perejam) selaku regu utama, Malaysia mempamerkan aksi menarik tetap akur dengan kekalahan 18-21 dalam set pertama.
Dalam set kedua, regu Thailand yang dibarisi Sittipong Khamchan, Pichet Pansan dan Wichan Temkort, jelas berada dalam kelas tersendiri untuk meraih kemenangan dominan 21-9.
Regu kedua negara, yang diwakili Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Farhan Adam (pengumpan) Azlan Alias (perejam), juga tidak dapat memberikan saingan untuk akur tewas 14-21, 14-21.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia berada di pentas final kejohanan itu adalah pada 2018.
Terdahulu, skuad negara juga tewas 0-2 kepada Thailand untuk bergelar naib juara acara regu.
Muzaffar Musa
Sun Jul 16 2023