SUKAN LAIN
Kimberly tangguh hasrat tempah tiket awal ke Tokyo 2020
Penerjun negara, Kimberly Bong, terpaksa menangguhkan hasrat menempah tiket awal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila perlu berehat sekurang-kurangnya enam minggu ekoran kecederaan bahu, sekali gus terlepas peluang menyertai Kejohanan Dunia 2019, bulan depan.
Kimberly mengalami kecederaan paling serius sejak bergelar penerjun negara.
Dia mengalami kecederaan bahu ketika berlatih di China menjelang Kejohanan Dunia 2019 beberapa minggu selepas ditimpa kecederaan belakang.
Ia tamparan hebat buat penerjun berusia 17 tahun itu yang sepatutnya menjadi gandingan baru Pandelela Rinong dalam acara 10m platform terjun seirama.
"Saya sangat kecewa kerana tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Dunia kali ini. Keadaan saya semakin baik tetapi perlu meneruskan proses pemulihan ini bagi memastikan tahap kecergasan berada di tahap optimum serta mampu memberikan persembahan yang lebih baik selepas ini," katanya.
Ketiadaan Kimberly menyaksikan Pandelela dijangka membentuk gandingan bersama penerjun senior, Leong Mun Yee, di Gwangju.