HOKI
KHM harap FIH pertimbang kaji semula slot ke Sukan Olimpik
Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berharap Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dapat mempertimbangkan untuk mengkaji semula slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi kuota Asia.
Ia bagi memastikan The Speedy Tigers, yang baru sahaja menjuarai Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, dapat kembali ke pentas berprestij itu selepas kali terakhir melakukannya dalam edisi di Sydney pada 2000.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, Subahan berkata: "Kalau boleh kami memohon sangat kerana sekiranya hanya juara Piala Asia sahaja mendapatkan slot automatik, saya rasa ia tidak terlalu adil.
Iklan
"Tambahan pula, kita perlu ingat mengapa kita selalu layak ke Piala Dunia adalah kerana ia memiliki 16 pasukan manakala Sukan Olimpik pula hanya 12 pasukan.
"Kalau boleh FIH mempertimbangkan permohonan yang pertama daripada pihak Malaysia ini untuk memberikan lebih slot kepada pasukan Asia dan tidak hanya kepada pasukan yang layak (secara automatik) sahaja.
"Kalau boleh lihatlah kepada lebih pasukan dari Asia, lebih pasukan dari Amerika Selatan, jadi berikannya secara sekata.
"Jangan melihat Sukan Olimpik hanya untuk pasukan terbaik, ia tidak sepatutnya begitu.
"Ia sepatutnya adalah untuk melihat semua orang dapat bermain hoki.
"Jika mereka dapat berfikiran seperti itu, saya kira sukan hoki dapat menyatukan ramai orang.
"Sukan bukan sahaja untuk dimenangi malah untuk menyatukan dunia dan banyak lagi negara di Asia ini akan dapat bermain (dalam Sukan Olimpik)," katanya.
Skuad hoki negara seterusnya akan ke Afrika Selatan bagi menghadapi Piala Negara-Negara pada 28 November ini sebelum ke Bhubaneswar, India bagi saingan Piala Dunia awal tahun depan.
Must-Watch Video