SUKAN LAIN

Khidmat luar masih diperlukan --  Tunku Imran

Penulis Jemputan 05/09/2018 | 10:13 MYT
Bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, mengakui Malaysia masih memerlukan kepakaran asing untuk memacu Program Podium walaupun Tim Newenham selaku pengarah program sukan berprestasi tinggi itu tampak gagal melaksanakan tugasnya.
Newenham, yang dilantik pada 2016, menjadi tumpuan selepas kontinjen negara gagal memenuhi sasaran menduduki kelompok 10 terbaik dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, dan terbaru, Sukan Asia di Indonesia.
Ia menunjukkan program berkenaan tampak masih gagal mencapai objektif walaupun pelaburan yang dibuat sudah mencecah RM67 juta.
Sebagai langkah untuk menyelamatkan program itu, ada pihak mencadangkan agar tempat Newenham digantikan dengan tenaga tempatan, namun Tunku Imran menyuarakan pandangan sebaliknya.
"Saya rasa semestinya khidmat pakar dari negara luar masih diperlukan. Kita tidak boleh terburu-buru. Sesetengah sukan memang sangat memerlukan tenaga dari luar untuk terus berkembang," katanya.
Bagaimanapun, Tunku Imran senada dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengenai kewajaran program itu diteruskan sambil memerlukan rombakan dan kajian semula untuk memenuhi sasaran emas pertama di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Saya juga rasa peluang harus terus diberikan. Mungkin antara punca masalah adalah terlalu banyak individu dalam program itu dan ia perlu disasarkan dengan sebaik-baiknya.
"Program kedua juga mungkin boleh membantu, sebagai contoh Kita Juara adalah satu usaha yang baik," tambahnya.
Tunku Imran, yang turut memegang jawatan penaung Persatuan Kriket Malaysia (MCA), ditemui ketika menyempurnakan majlis menandatangani ikrar bebas rasuah di antara persatuan itu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kinrara, hari ini.
MCA muncul persatuan sukan kebangsaan pertama yang melaksanakan inisiatif itu sebagai langkah kesedaran terhadap keburukan gejala mengatur perlawanan.
;