SUKAN LASAK
Khabib Nurmagomedov dihalau keluar pesawat
Bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov, dihalau daripada penerbangan Alaska Airlines selepas terlibat dalam pertikaian dengan kru kabin mengenai tempat duduk di barisan keluar kecemasan.
Laporan media antarabangsa menyebut insiden itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, apabila pramugari mempersoalkan kesediaan Khabib Nurmagomedov membantu penumpang lain jika berlaku kecemasan di barisan keluar.
Dalam rakaman video yang tular, pramugari berkata dia tidak boleh membenarkan Nurmagomedov duduk di situ dan memberi pilihan untuk menukar tempat duduk atau meninggalkan pesawat.
Iklan
Bagaimanapun Nurmagomedov menolak dengan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil kerana dia telah mematuhi semua prosedur dan menjelaskan bahawa dia fasih berbahasa Inggeris seperti diminta di kaunter daftar masuk.
Walaupun diberi pilihan tempat duduk lain atau menaiki penerbangan seterusnya, Nurmagomedov enggan berganjak.
Akibatnya, dia dan rombongannya diiring keluar dari pesawat.
Difahamkan, Nurmagomedov sedang menuju ke Los Angeles untuk menyokong rakan sepasukan dalam acara UFC 311 pada Sabtu ini.
Setakat ini, Alaska Airlines dan Nurmagomedov belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut yang dipercayai berlaku kelmarin.
Must-Watch Video