Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan skuad ragbi 7's negara di bawah kendalian ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man, sepanjang musim 2024.
Amir Amri tidak menolak kemungkinan KRM akan terus berikan kepercayaan kepada pengendali kelahiran Kuala Lipis itu untuk kekal mengemudi skuad Bunga Raya bagi harungi kalendar 2025.
Antara pencapaian terbaik yang diraih ialah memacu Malaysia muncul juara Kejohanan Ragbi Sea 7's Singapura 2024, Mei lalu.
"Kami sangat berpuas hati dengan prestasi Nik Safuan Ismade kerana menghadapi pelbagai cabaran dan halangan untuk memperkemas pasukan lelaki.
"Kami turut mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Ragbi Selangor serta beberapa orang yang sanggup berkorban masa dan tenaga tanpa memikirkan sebarang elaun untuk membantu pasukan wanita," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, Amir Amri tidak menolak kemungkinan akan berlaku rombakan dalam senarai barisan kejurulatihan bagi pasukan 15's bermula musim 2025.
Segala keputusan hanya akan dimuktamadkan sejurus selesai mesyuarat exco KRM yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan Januari ini.
Untuk rekod, skuad 15's negara ketika ini diketuai pengendali tempatan, Mohd Farid Syazwan Abu Baka,r yang dilantik sejak Mac 2024 menggantikan tempat yang ditinggalkan bekas kapten New Zealand, Rodney So'oialo.
"Adakah kekalkan jawatankuasa yang sama atau ditentukan dengan orang baru kerana ini merupakan tahun yang mencabar untuk ditempuhi," tambahnya.
Najmi Iman
Thu Jan 02 2025