OLAHRAGA

Kes Watson ke mahkamah -- Pesuruhjaya Polis Sarawak

Rudi Affendi Khalik 13/05/2017 | 13:43 MYT
Polis Sarawak telah menyiapkan siasatan berhubung kes penghinaan terhadap mendiang bapa Watson Nyambek dan tertuduh dijangka akan dibawa ke mahkamah dalam tempoh terdekat.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor, berkata kertas siasatan pihaknya telah lengkap dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Kami percaya berdasarkan bukti-bukti yang ada, kes ini akan dituduh di mahkamah pada kadar segera," katanya ketika ditemui dalam program Trim to Fit, Polis Diraja Malaysia Kontijen Sarawak di Kuching, hari ini.
Kes ini menjadi besar apabila stesen TV3 menyiarkan sebuah program parodi yang mempersendakan nama bapa Watson.
Rancangan parodi ini menampilkan pengacara, Azizul Ammar, Marsha Milan Londoh dan Mark Adam.
Watson kemudian memuat naik status Facebook miliknya setelah menonton video yang menjadi tular itu.
"Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa... saya terima.
"Nak ketawakan saya...apa boleh buat, nasib saya macam tu.
"Tetapi bapa saya bukan 'binatang' untuk dipersendakan," tulisnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 504, Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
;