BERBASIKAL

Kerajaan Negeri Terengganu sedia taja basikal Harrif Saleh

Sinar Harian 26/06/2023 | 06:00 MYT
Kerajaan Negeri Terengganu sedia menaja basikal trek velodrom Mohd Harrif Saleh bagi merealisasikan impian jaguh berbasikal lebuh raya negara itu untuk memperkemaskan latihan dan kembali aktif dalam acara berkenaan.
Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pihaknya menjangkakan kos diperlukan Mohd Harrif melebihi RM40,000.
"Kami akan realisasikan impiannya untuk dapatkan basikal yang diperlukan itu, Insya-Allah.
"Kami jangka anggaran kos melebihi RM40,000," katanya.
Wan Sukairi berkata, dia sebelum ini ada membaca hantaran di laman sosial atlet basikal Terengganu itu yang meluahkan masalah tidak memiliki basikal trek sendiri untuk memudahkannya membuat latihan.
"Sebelum ini beliau (Mohd Harrif) ada memuat naik status berkenaan tentang isu basikal untuk digunakan bagi acara trek di veledrom.
"Rakan media sosial saya juga ramai memaklumkan kepada saya mengenai perkara itu malah saya juga dihubungi sendiri oleh beliau untuk menceritakan apa yang diperlukan.
"Saya telah meminta beliau menyatakan apa keperluan sebenarnya melalui sepucuk surat dan surat itu telah diserahkan ketika pertemuan kami baru-baru ini," katanya.
Menurut Wan Sukairi, isu tersebut juga dalam pengetahuan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan turut menyatakan kesediaan untuk membantu atlet berkenaan.
"Kita dok lok saje (tak biarkan sahaja). Kita pasti akan bantu. Apatah lagi atlet hebat seperti Harrif Saleh ini. Insya-Allah, semoga akan lahir seorang lagi atlet sehebat Datuk Azizulhasni Awang," ujarnya.
Selepas membuat penampilan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, Mohd Harrif atau lebih mesra digelar Mamat tampak serius untuk kembali aktif menggegarkan trek velodrom.
Dia turut menyatakan kesediaannya membarisi skuad berbasikal trek negara jika khidmatnya diperlukan.
Menerusi status yang dimuat naik di laman sosialnya, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu mengakui dia hanya menggunakan basikal trek yang dipinjamkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) ketika membuat penampilan dalam ACC 2023 yang lalu.
Mohd Harrif turut merakam penghargaan atas kesudian MSNT meminjamkan basikal itu untuk digunakan ketika mewakili Malaysia dalam saingan ACC dan kejohanan kebangsaan.
Pada ACC 2023, jaguh berbasikal itu berjaya menamatkan acara elimination (perlumbaan penyingkiran) di tangga kelapan daripada 15 pelumba biarpun hanya membuat persiapan dalam tempoh dua minggu.
Kredit: Sinar Harian
;