Skip to main content

Sukan Lain

Kemenangan bermakna buat Sin Li Jane

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

li-jane.png
Srikandi boling tenpin wanita negara, Sin Li Jane, sekali lagi mencipta sejarah apabila menewaskan wakil Singapura, New Hui Fen, dengan 222 jatuhan pin berbalas 198 dalam final Kejohanan Terbuka Malaysia hari ini.

Li Jane meluahkan rasa terharu dan sebak dan mendedikasikan kejayaan itu khas buat mendiang datuknya yang baru sahaja meninggal dunia tiga hari lalu.

"Kemenangan yang berharga buat saya kerana kehilangan datuk baru-baru ini, dan saya telah berjanji kepadanya untuk buat yang terbaik dalam Terbuka Malaysia dan akhirnya saya telah mempertahankan kejuaraan untuk dia." katanya.

Dalam kategori lelaki pula, pemain remaja berusia 15 tahun, iaitu Ethan Damien Goh, benar-benar membuktikan bahawa bakat tidak mengenali usia.

Ethan yang berasal dari Kuala Lumpur, menumbangkan atlet podium negara, Muhammad Hafiz Zainuddin, dengan keputusan 220 berbalas 180 jatuhan pin.

Ethan yang sudah berlatih sejak berusia tujuh tahun bersama ayahnya, kini fokus untuk mencapai tahap tertinggi setaraf pemain senior dan atlet antarabangsa.

"Saya merasakan ini perasaan yang sangat gembira buat saya, saya tidak percaya dengan kejuaraan ini tetapi saya berterima kasih ke atas semua yang memberi sokongan kepada saya.

"Saya teruja bermain dengan kesemua pemain dan ketika ini saya tahu saya di mana prestasi saya di kejohanan ini, pusingan pertama saya agak kecewa dengan prestasi, tetapi pusingan kedua ia sangat baik buat saya." katanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut bersama sebagai perasmi kejohanan mengumumkan sebanyak RM180,000 diberikan kepada Malaysian Tenpin Bowling Congress (MTBC) sebagai tanda terus menyokong usaha persatuan sukan itu.

"Kementerian Belia dan Sukan, menyokong penganjuran kejohanan kali ini dengan memberi RM180,000 kepada perbadanan sukan.

"Ia adalah untuk terus usaha kecemerlangan kerana beberapa dekat ini mereka selalu melahirkan atlit bertaraf antarabangsa dan konsisten peroleh pingat setiap kali memasuki kejohanan." katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video