GIMNASTIK
Kem gimnastik tidak sabar tunggu aparatus baru
Kejayaan bergelar juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hanya sebahagian daripada legasi penganjuran temasya dwitahunan itu.
Selain ganjaran, pelbagai habuan dinikmati dalam bentuk aparatus atau peralatan berkelas dunia yang diperlukan skuad gimnastik negara.
Tidak lama lagi, kem gimnastik negara, khususnya skuad lelaki yang memenangi dua emas, dua perak dan satu gangsa dalam KL2017, akan menikmati aparatus latihan baru.
Iklan
Malah, peralatan yang bakal mereka terima adalah yang sama digunakan ketika beraksi dalam temasya itu.
Perkembangan ini tiba tepat pada waktunya memandangkan sebilangan besar aparatus sedia ada di Majlis Sukan Negara (MSN) sudah dimamah usia.
Selain menghalang gimnas negara daripada memenuhi potensi, peralatan semakin usang ini berupaya meningkatkan risiko kecederaan.
Namun, impak yang lebih besar adalah kesinambungan kejayaan KL2017, ditambah dengan peralatan daripada temasya itu akan memangkin semangat mereka untuk menghadapi saingan utama seperti Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, tahun depan.
"Saya fikir ia sudah lama. Peralatan baru itu berteknologi tinggi dan mempunyi sedikit fungsi untuk membantu atlet. Ia berbeza dengan peralatan lama dan dapat dirasai ketika berlatih," kata jurulatih, Ng Shu Liang.
"Peralatan sedia ada agak lama dan ia tidak stabil dan tidak selamat untuk kami gunakan. Saya harap aparatus baru itu sampai secepat mungkin," kata atlet gimnastik negara, Jeremiah Loo.
Must-Watch Video