Skip to main content

Hoki

Kelayakan Sukan Olimpik: Skuad hoki wanita negara tutup pulang tanpa sebarang mata

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki-malaysia-wanita.jpg
Skuad hoki wanita menutup saingan terakhir kumpulan kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa sebarang mata selepas menjadi mangsa belasahan Great Britain 1-8 semalam.

Ia merupakan kekalahan buat kali ketiga berturut-turut skuad negara pada aksi Kumpulan B berlangsung di Estadio Beterodi, Valencia, Sepanyol itu selepas tewas kepada tuan rumah 0-7 dan Kanada 0-3, sekali gus menduduki tangga tercorot dengan hanya berhasil menjaringkan satu gol.

Sepanyol mengungguli kedudukan kumpulan apabila mengumpul sembilan mata, Great Britain di tangga kedua dengan enam mata sementara Kanada di tempat ketiga dengan tiga mata.

Ahad lalu, kekalahan kepada Kanada menyaksikan anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terlepas tiket ke Paris berikutan peluang sudah tertutup untuk berada dalam dua kedudukan teratas kumpulan bagi melayakkan diri ke saingan separuh akhir.

Pada perlawanan sebentar tadi, lapan gol dijelmakan Great Britain masing-masing menerusi Hannah French (17' dan 59'), Isabelle Petter (19'), Tessa Howard (24' dan 30'), Giselle Ansley (27’ dan 43') dan Sarah Jones (29').

Impian Malaysian Tigress untuk membuka akaun gol sepanjang saingan kumpulan itu dalam masa sama tercapai menerusi jaringan Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-56.

Skuad wanita negara akan beraksi pada perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan pada Sabtu ini.

Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024, di Valencia merupakan pentas terakhir bagi semua pasukan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya terbesar dunia itu.-Sinar Harian

Advertisement

Must Watch Video