HOKI
Kelayakan Sukan Olimpik: Pakistan bangkit tiga kali, harapan Malaysia ke Paris akhirnya terpadam
Rana Waheed Ashraf watak pemusnah impian Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 susulan seri 3-3 dengan Pakistan dalam aksi terakhir Kumpulan A kempen kelayakan di Muscat, Oman awal pagi tadi.
Keputusan seri tersebut menyaksikan Malaysia gagal menempatkan diri ke separuh akhir dengan menamatkan saingan kumpulan di tempat tercorot dengan satu mata di belakang China yang meraih tiga mata, Pakistan (4 mata) dan Great Britain yang mengungguli kedudukan dengan sembilan mata.
Ia merupakan kesilapan daripada barisan pemain negara apabila membuka peluang buat Pakistan bangkit sebanyak tiga kali di Stadium Hoki Oman itu.
Iklan
Fitri Saari membuka jaringan pada minit ke-20 namun kelebihan dimiliki The Speedy Tigers hanya bertahan tiga minit -- Sufyan Khan memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan buat Pakistan.
Malaysia kembali mendahului apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti oleh ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil pada penghujung suku kedua.
Tiga minit selepas suku ketiga bermula, pasukan bimbingan Sheikh Shahnaz sekali lagi bangkit mengikat skuad kebangsaan, kali ini menerusi Ammad Butt yang melepasi kawalan benteng pertahanan negara untuk menolak bola ke dalam gawang Malaysia.
Selepas penalty stroke diambil Muhammad Razie dinafikan penjaga gol Abdullah Ishtiaq Khan, usaha keras Malaysia untuk kembali memimpin perlawanan membuahkan hasil apabila Muhammad Firhan Ashari menyumbat gol padang pada minit ke-40.
Bagaimanapun kelegaan Malaysia bertukar kekecewaan pada saat Rana Waheed menjaringkan gol padang dalam minit ke-52, sekali gus menjadi wira Pakistan yang mengesahkan kemaraan pasukan itu ke separuh akhir.
Must-Watch Video