Skip to main content

Futsal

Kelayakan Piala Asia Futsal 2024: Rakphol Sainetngam teruja mulakan kem latihan bersama skuad negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

futlsa.jpg
Ketua jurulatih futsal negara, Rakphol Sainetngam, mahu menjadikan dua hari pertama kem latihan pusat sebagai sesi pemulihan atau recovery session buat 20 pemain yang baru sahaja selesai kejohanan domestik.

Meskipun masih awal untuk menilai tahap kecergasan pemain, Rakphol mengakui gembira dengan kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya pada hari pertama latihan.

Namun apa yang menjadi kegusaran Rakphol serta barisan kejurulatihannya ketika ini adalah kelibat beberapa tonggak yang mengalami kecederaan ketika saingan Piala Malaysia Futsal antaranya seperti Abu Haniffa Hasan dan Alif Izzat.

Skuad negara dijangka berada di Thailand bermula dari 24 hingga 30 September dan bakal menjalani tiga aksi persahabatan menentang Afghanistan, Taiwan dan Thailand untuk persiapan ke kelayakan Piala Asia 2024 di Uzbekistan, Oktober depan.

"Sangat teruja hari ini kerana ia merupakan sesi latihan pertama skuad kebangsaan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia," katanya menerusi Nadi Arena.

"Kami perlu memastikan setiap pemain menjalani proses pemulihan susulan beraksi di final Piala Malaysia semalam dan esok kami akan mula merencana perancangan untuk Piala Asia.

"Saya akan cuba yang terbaik dan pemain turut melakukan perkara yang sama untuk memastikan keputusan positif mampu diterjemah dalam perlawanan akan datang."

Malaysia bakal turun menentang pasukan di ranking kesembilan Asia, Iraq pada 7 Oktober sebelum menentang pasukan handalan, Uzbekistan yang juga naib juara empat kali dan semi finalis enam kali pada 9 Oktober.

Menanti Malaysia di perlawanan ketiga ialah Kemboja yang merupakan lawan yang dijangka mudah buat Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video