Skip to main content

Permotoran

Kejuaraan Rali Malaysia 2025: Terlepas perlumbaan awal musim, Dinie sedia gegar podium siri kedua

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

dinie.jpg
Setelah terlepas perlumbaan pembukaan Kejuaraan Rali Malaysia 2025 pada dua minggu lalu, Dinie Nazmi Abd Rahman tekad untuk menaiki podium pertama musim ini bagi aksi peringkat kedua perlumbaan yang dijadualkan untuk berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 17 Ogos ini.

Terdahulu, Dinie Nazmi terpaksa menarik diri di saat akhir perlumbaan di Jempol, Negeri Sembilan berikutan masalah kesihatan yang memaksa pelumba berusia 36 tahun ini untuk bermalam di Hospital Kajang.

Kini pelumba yang telah mewarnai arena perlumbaan rali tanah air sejak 2010 bersama rakan sepasukan Mohd Nazam Shah Sulaiman siap sedia sepenuhnya untuk pertama kali mempertaruhkan jentera Proton Satria Neo 1.6 bagi kategori M3.



“Sudah tentu amat teruja buat untuk memulakan perlumbaan pertama buat kami setelah terpaksa akur untuk menarik diri pada perlumbaan pembukaan musim ini di Jempol pada dua minggu lalu oleh kerana masalah kesihatan.

“Bukan memilih laluan sukar namun kategori M3 tetap menjadi pilihan saya untuk cabaran sebenar untuk menaiki podium walaupun pertama kali mempertaruhkan jentera Proton Satria Neo 1.6 bagi musim ini. 

“Saya tidak memandang rendah kepada pencabar-pencabar lain di mana kita boleh lihat setiap tahun mereka juga membuat persiapan yang lebih baik dari musim lalu. Sebenarnya pencabar terhebat adalah kereta di belakang saya. Itu saya perlu risaukan.

“Sasaran awal pasukan adalah untuk menutup musim ini selaku juara keseluruhan namun sebelum itu kami perlu memberi fokus pada baki-baki perlumbaan sepanjang musim ini bagi mengutip mata perlumbaan secara keseluruhan,” ujar Dinie Nazmi Abd Rahman yang bergandingan bersama pemandu arah Mohd Nazam Shah Sulaiman untuk perlumbaan hujung minggu ini.

“Sudah tentu kutipan mata perlumbaan pertama amat penting untuk kami bermula baik musim ini oleh itu saya mengharapkan cuaca menyebelahi kami untuk menaiki podium.

“Melihat pada litar yang disediakan oleh penganjur, ianya peluang sama rata buat setiap jentera lumba bertanding hanya pengalaman memberi tambah nilai buat setiap pelumba untuk catatan masa terbaik,” ujar Mohd Nazam Shah Sulaiman yang telah memulakan karier sebagai pelumba rali profesional sejak 2014.

Untuk siri kedua perlumbaan rali yang berlangsung di Sepang pada hujung ini melibatkan penyertaan sebanyak 20 buah jentera lumba untuk perebutan podium bagi enam kategori utama menjadi taruhan.



Kelibat Proton Gen2 yang dipacu oleh pelumba lagenda negara, Karamjit Singh juga sekali lagi bakal mencuri tumpuan di Sepang ini setelah menjuarai perlumbaan pembukaan di Jempol pada awal Ogos lalu.

Menambah cabaran untuk siri kedua perlumbaan ini, Karamjit Singh bergandingan bersama Musa Sheriff dari India yang merupakan di antara pelumba yang mempunyai reputasi besar di pentas kejuaraan rali antarabangsa.

Advertisement

Must Watch Video