Kejohanan YSD Track Series 8: Nurul Izzah idola pelumba muda negara
Ammar Hakim
September 20, 2024 20:22 MYT
September 20, 2024 20:22 MYT
Pelumba pelapis berbasikal trek negara, Nur Alyssa Mohd Farid, menjadikan Nurul Izzah Izzati sebagai idolanya kerana ini merupakan tahun terakhir dirinya bergelar pelumba pelapis sebelum bakal berdiri sebaris dengan pelumba di tahap elit lain tahun hadapan.
Alyssa kini sudah 80 peratus pulih daripada gegaran otak dan kecederaan paru-paru yang dialaminya pada Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia di Luoyang, China pada 21 hingga 25 Ogos lalu.
Dia menamatkan saingan di tempat keempat pada kategori pecut elit, elite endurance dan bawah 19 tahun wanita dalam Kejohanan YSD Track Series 8 di Velodrom Nilai, Negeri Sembilan.
Izzah Izzati mengungguli saingan kategori tersebut dengan catatan masa 11.512 saat meninggalkan Anis Amira Rosdi di tempat kedua.
Melengkapkan podium, Nurul Aliana Syafika Aziza.
Sementara itu, pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom, menjadikan abangnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, sebagai rakan sepelatih bagi meraih pingat menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2024 di Ballerup, Denmark pada 16 hingga 20 Oktober 2024.
Jelas Ridwan, dia sudah bersiap sedia daripada segi fizikal dan mental bagi menghadapi ujian sebenar kejohanan tersebut.
Ridwan menamatkan saingan di tempat kedua kategori pecut elit lelaki pada Kejohanan YSD Track Series 8 yang berlangsung di Velodrom Nilai sehingga Ahad nanti.
Shah menjuarai kategori tersebut dengan catatan masa 11.405 saat mengatasi Ridwan, sementara Fadhil Zonis melengkapkan kedudukan podium.