SUKAN LAIN

Kejohanan Woodball Kebangsaan persiapan ke kejohanan dunia

Tengku Danish 05/05/2017 | 15:34 MYT
Persatuan Woodball Malaysia (PWM) menjadikan Kejohanan Woodball Kebangsaan yang membuka tirainya di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini, sebagai medan pemanas badan menjelang dua kejohanan penting yang akan datang.
Menurut Presiden PWM, Elaine Tan, seramai 12 atlet lelaki dan wanita akan dipilih melalui kejohanan yang memasuki edisi ke-13 itu ke Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa (29 Julai hingga 3 Ogos) juga di Terengganu.
Tambahnya lagi, skuad negara juga akan menyertai Kejohanan Woodball Pantai Dunia pada 9 hingga 13 September ini di Indonesia.
“Sukan ini sudah semakin dikenali jadi dengan adanya Kejohanan Kebangsaan, kami dapat mencungkil dan mengenalpasti atlet terbaik untuk menggalas cabaran negara.
“Diharapkan peserta-peserta dapat menunjukkan persembahan terbaik untuk mencuri tempat dalam skuad negara,” katanya selepas majlis perasmian kejohanan, pagi tadi.
Seramai 250 peserta dari 10 negeri akan membuat perhitungan dalam 12 kategori dipertandingkan dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM14,000.
Tambah Elaine lagi, selain acara utama terbuka dan remaja, dua acara baharu telah diperkenalkan iaitu bawah 15 tahun lelaki dan perempuan.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu dan Presiden Persatuan Woodball Asia, Thomas Kok.
;