ATP
Kejohanan Wimbledon: Novak Djokovic masih dahagakan gelaran grand slam ke-24
Novak Djokovic masih mendahagakan kejayaan dan dia kini akan berusaha mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Tenis Wimbledon bagi mendaftarkan gelaran grand slamnya yang ke-24.
Kejayaan Djokovic menjuarai Terbuka Perancis menyaksikan dia kini mengatasi Rafael Nadal selaku pemain lelaki paling banyak gelaran grand slam.
Jaguh Serbia berusia 36 tahun itu dapat menyamai rekod grand slam terbanyak dalam kategori perseorangan milik Margaret Court seandainya dapat meraih satu lagi gelaran di SW19 pada 16 Julai ini.
Di sebalik fokusnya terhadap kecergasannya, Djokovic bertekad untuk kekal menjadi dirinya sendiri menjelang aksi pembukaan menentang pemain Argentina, Pedro Cachin, di Centre Court esok.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sejujurnya, saya tidak berasa tenang. Saya masih dahagakan kejayaan, lebih banyak grand slam, lebih banyak pencapaian dalam tenis," katanya dalam sidang media di Wimbeldon.
"Selagi ada dorongan itu, saya tahu saya mampu bersaing di tahap tertinggi. Jika dorongan itu sudah berkurangan, saya rasa saya akan berdepan situasi berbeza dan pendekatan berbeza.
"Setakat ini dorongan itu masih ada -- beberapa hari selepas Roland Garros, saya sudah mula berfikir mengenai persiapan di gelanggang rumput dan apa yang perlu dipersiapkan.
"Musim tenis tidak memberikan anda terlalu banyak masa untuk menikmatinya. Sudah pasti saya meraikannya bersama keluarga tetapi ia tidak lama," katanya.