Kejohanan Wimbledon: Djokovic didenda gara-gara hempas raket ketika tewas aksi final
Muzaffar Musa
Julai 18, 2023 11:37 MYT
Julai 18, 2023 11:37 MYT
Novak Djokovic didenda sebanyak AS$8,000 (RM36,280) gara-gara menghempas raketnya ke tiang jaring sewaktu perlawanan final Kejohanan Tenis Wimbledon minggu lalu.
Kelab Lawn Tenis All England mengesahkan bahawa pemain berusia 36 tahun itu dikenakan denda berkenaan gara-gara kelakuannya ketika tewas kepada pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz.
Djokovic melakukan tindakan itu sebagai menunjukkan kekecewaannya ketika gagal mengatasi Alcaraz dan kehilangan mata sewaktu servis di tangannya dalam set kelima perlawanan penting di Centre Court berkenaan.
Pengadil, Fergus Murphy, segera memberikan amaran kepada jaguh Serbia itu kerana tindakan keganasan berkenaan.
Kekecewaan Djokovic yang memuncak itu kemudian dimanfaatkan lawan berusia 20 tahun, Alcaraz, untuk mengesahkan kemenangan 1-6, 7-6, 6-1, 3-6, 6-4 selepas bertarung selama empat jam dan 42 minit.