Kejohanan Wimbledon: Coco Gauff tersingkir awal tewas kepada Sofia Kenin

Muzaffar Musa
Julai 4, 2023 09:31 MYT
Coco Gauff tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Tenis Wimbledon apabila tewas kepada seorang lagi pemain Amerika Syarikat (AS), Sofia Kenin, dalam aksi sengit di Court One awal pagi tadi.
Pemain pilihan ketujuh itu, yang mencuri tumpuan di SW19 ketika layak ke pusingan keempat sewaktu berusia 15 tahun pada 2019, merupakan antara pencabar untuk memburu gelaran musim ini tetapi dia terkandas awal selepas tewas 6-4, 4-6, 6-2.
Ia merupakan aksi terbaik Kenin sejak dia memenangi Terbuka Australia pada 2020, di mana dia mengatasi permainan bertenaga Gauff untuk mendaftarkan kemenangan pertamanya dalam perlawanan grand slam sejak 2021.
Terdapat perseteruan hebat di antara kedua-dua pemain itu dan mereka kali ini bertarung selama 2 jam dan 3 minit dalam aksi yang menghiburkan penonton sebelum Kenin mengesahkan kemenangan.
Kenin seterusnya akan bertemu pemain China, Wang Xinyu, dalam pusingan kedua esok.
#WTA #Tenis #Grand Slam #Sofia Kenin #Coco Gauff #Kejohanan Wimbledon
;