BERBASIKAL
Kejohanan Trek Remaja Dunia: Sawda Hasbullah enggan jadikan SPM alasan intai kilauan pingat
Tahun 2025 menjadi antara tahun terpenting buat pelumba berbasikal trek remaja negara, Sawda Hasbullah, yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun, segala cabaran dan halangan mampu ditempuh Sawda yang ketika ini mempersiapkan diri di bulan puasa menjelang kejohanan yang akan datang selepas raya.
Masih segar dengan dua emas di Kejohanan berbasikal trek Asia 2025 bulan lalu, Sawda kini giat membuat persiapan sebelum kembali beraksi selepas cuti raya perayaan Aidilfitri.
Iklan
Dengan cabaran terbesar tahun ini di luar trek iaitu menghadapi SPM, Sawda berkongsikan rutin hariannya ketika buan Ramadan dalam misi menyeimbangkan masa latihan dan juga pelajaran demi meraih hasil cemerlang.
"Bagi saya paling susah adalah untuk konsisten dalam berlatih kerana kadangkala saya penat belajar dan mahu langkau sesi latihan.
"Tetapi apabila sudah masuk pasukan kebangsaan, memang tidak akan terdetik untuk tidak berlatih dan saya menantikan untuk berlatih. Nanti saya akan fokus pada kejohanan remaja dunia dan selepas itu saya akan tukar pemikiran untuk fokus kepada pelajaran.
"Jika acara besar pada Ogos, saya berharap dapat bawa pulang pingat tetapi jika bukan rezeki saya berharap dapat berikan saingan kepada atlet luar sana." katanya.
Must-Watch Video