TENIS
Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan: Deedat, Assri tepati ramalan ke final
Seperti dijangkakan, dua pemain kebangsaan, Ahmad Deedat Abdul Razak dan Assri Merzuki, tiada masalah untuk mara ke final pusingan pertama Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan.
Saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan Deedat turun berdepan atlet Kuala Lumpur, Christian Oliver Lee, dalam separuh akhir.
Wakili Selangor, Deedat, hanya diberikan sedikit tentangan sebelum menamatkan cabaran lawannya hasil kemenangan straight set 6-4, 6-2.
Sementara itu, lain kisahnya buat Assri apabila pemain yang mewakili Sarawak itu dipaksa bekerja keras dalam pertemuan menentang Sheikh Ameer Abdullah dari Kuala Lumpur.
Selepas menang 6-2 dalam set pertama, Assri dikejutkan dengan permainan pantas lawan sebelum akhirnya menoktahkan kemenangan 7-5.
"Saya menampilkan permainan menarik hari ini. Selepas mengharungi beberapa aksi sebelum ini, saya mula mendapat rentak.
"Saya memberi fokus sepenuhnya terhadap permainan saya kerana kejohanan ini adalah bertaraf sirkit kebangsaan.
"Saya harap dapat meneruskan momentum ini dalam aksi seterusnya," kata Deedat.
"Kami memang dah biasa bertemu dan pertemuan kami sering menghasilkan permainan menarik.
"Saya sudah bersedia untuk menghadapi taktikal permainan Deedat nanti," kata Assri pula.
Saingan wanita pula menyaksikan S. Theiviya mengetepikan pilihan pertama, Haarini Balakrishnan, menerusi kemenangan straight set 6-2, 6-1.
Dia akan berdepan Suhana Sofia yang juga pilihan kedua dari Selangor selepas pemain itu menewaskan Syarifah Elysia Wan Rahim 3-6, 6-3, 6-1.
"Ini kejohanan pertama saya dalam tahun ini.
"Saya mengharungi permainan dengan baik ketika ini tapi masih belum berpuas hati dengan tahap kecergasan sendiri.
"Saya harap dapat menampilkan aksi lebih konsisten selepas ini," ujar Haarini.