PERMOTORAN
Kejohanan Superbike Malaysia MAM: Nakarin pamer dominasi di Sepang
Pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia MAM berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang hari ini.
Nakarin Atiratphuvaphat daripada pasukan HONDA RACING THAILAND meraih kemenangan dalam perlumbaan 1 kategori MSBK1000 A.
Dalam sesi kelayakan pagi tadi, Azroy Hakeem Anuar daripada pasukan BOON SIEW HONDA RACING TEAM mencatatkan masa sepusingan terpantas dengan 2'08:137s.
Iklan
Pelumba kedua terpantas pula ialah Kasma Daniel Kasmayudin daripada YAMAHA TEKHNE RACING TEAM ASIA dengan 2'08:249s.
Nakarin Atiratphuvaphat, dalam pada itu menduduki tempat ketiga dengan 2'08:381s.
Bagaimanapun, Nakarin berhasil merampas kedudukan paling depad pada awal perlumbaan itu diikuti Kasma Daniel dan Azroy Hakeem.
Kedudukan pelumba kemudian berubah dengan pantas dalam setiap pusingan antara Nakarin dan Azlan Shah Kamaruzaman daripada pasukan HORIZON RACING TEAM, dan Azroy Hakeem.
Dalam pusingan keenam, Nakarin merampas kembali kedudukan paling depan meninggalkan Azlan Shah, yang mengekori rapat di belakang.
Nakarin kemudian meningkatkan kelajuannya untuk muncul pemenang dengan catatan masa 21'53:106s.
Nakarin berkata: "Perlumbaan ini memberikan cabaran yang ketara kerana keadaan trek basah. Pada mulanya, saya bergelut dengan kelicinan litar, yang menjadikan pengendalian agak sukar.
"Bagaimanapun, apabila perlumbaan berlangsung, saya menyesuaikan diri dengan keadaan dan mendapat kawalan yang lebih baik.
"Dalam pusingan terakhir, walaupun saya berusaha untuk terus maju, saya tidak dapat melepaskan diri daripada pelumba lain. Sebaliknya, saya menumpukan untuk memaksimumkan prestasi saya dalam setiap pusingan.
"Strategi itu membuahkan hasil untuk saya memastikan kemenangan hari ini."
Azlan menamatkan perlumban di tempat kedua dengan 21'53:133s manakala Azroy Hakeem pula ketiga dengan 21'53:178s.
Must-Watch Video