SILAT
Kejohanan Silat Dunia: Pesaka kemuka bantahan insiden Khairi Adib
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sudah mengemukakan bantahan terhadap insiden yang menimpa pesilat negara, Khairi Adib Azhar, dalam final tanding putera kategori B hari ini.
Dalam aksi final di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu, Khairi Adib meninggalkan gelanggang berbaki 55 saat pertarungan sebenar kerana tidak berpuas hati dengan sistem pemarkahan wasit dalam perlawanan itu.
Pengundurannya menyaksikan wakil Singapura, Aniq Asri, diberikan kemenangan pada ketika sedang mendahului 16-7 dalam pusingan terakhir.
Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, memaklumkan pihaknya telah mengemukakan bantahan terhadap insiden itu.
"Kami mengikut peraturan yang dibenarkan, di mana kami memilih untuk mengundurkan diri kerana berasakan berlaku ketidakadilan dan kami akan mengikut proses yang ada," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Karl Nunis.
"Kami melakukan bantahan dan proses itu sedang berlangsung, jadi kita tunggulah apa keputusannya.
"Saya rasa bersyukur kerana walaupun ia menimbulkan ketegangan kerana bukan hanyan kami yang nampak, penonton semua nampak sehingga suasana dalam dewan menjadi agak tegang.
"Kerana perkara ini bukan lagi sesuatu yang boleh dibuat secara sulit, ada papan pemarkahan yang jelas dan besar.
"Jika kami membenarkan perlawanan itu diteruskan, ditakuti akan mengundang sesuatu yang lebih bahaya," katanya.