SUKAN LAIN
Kejohanan PKNS Invitational Volleyball League: PKNS Eagle sasar ke final
Pemain bola tampar PKNS Eagle, Shon Ngap Shyang, menjadikan dua legenda sukan kebangsaan sebagai sumber inspirasi Kejohanan PKNS Invitational Volleyball League.
Bagi Shon, dia meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke final dalam kejohanan kali ini, dia sudah sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk berdepan lawan yang terdiri daripada bekas pemain kebangsaan yang sudah biasa menghadapi tekanan.
Manakala Brandon Kiew Kwang Yi pula anggap jurulatih sekolah rendahnya, Phillip Teo sebagai sumber inspirasi dalam dirinya untuk beraksi cemerlang hingga tahap ini.
"Jurulatih saya merupakan seorang yang sangat berperanan dalam karier saya. Dia banyak memberikan pengalaman dalam membantu saya untuk menjadi pemain yang berjaya mencapai ke tahap ini," kata Brandon.
PKNS Eagle akan membuka tirai kejohanan menentang pasukan MBSA 12 September ini.
Sementara itu, Kelantan tidak mahu dilabel sebagai pasukan yang sekadar memenuhi tuntutan jadual malah yakin mampu memberikan saingan kepada beberapa pasukan yang dianggap gergasi seperti MBSA, PKNS mahupun Kuala Lumpur.
Justeru perhitungan Kelantan tidak sekadar biasa-biasa -- Ketika PKNS melebarkan syarat dan peraturan baru dengan menghadkan penggunaan dua pemain import atau dua pemain kebangsaan, pengurusnya, Zamrie Zakaria mengambil pendekatan berbeza.
Empat pemain import dari Thailand yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan negara gajah putih dipertaruhkan.
Kelibat dua spiker, Saran Khodsungneon dan Kritsada Imjai dan dua libero, Abdulroman Sani dan Fikree Chemoh hanya akan tiba 11 September ini dan dijangka sempat melewati satu sesi latihan sahaja sebelum saingan membuka tirai.
"Pemain import yang bakal dibawa masuk tidak akan berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri, saya percaya mereka mampu menghadirkan permainan yang terbaik untuk pasukan," kata Zamrie.
Satu kesulitan yang dihadapi Kelantan ketika ini adalah sukar untuk mendapatkan venue latihan memandangkan kebanyakan venue telah penuh di tempah bermula dari awal tahun.
"Untuk makluman, telah lama pasukan Kelantan tidak menyertai kejohanan yang besar dan berharap ia akan menjadi peluang buat pasukan terus kekal aktif menjadi sebahagian daripada saingan bola tampar selepas ini."