OLAHRAGA
Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata: Kecederaan bukan alasan bagi Haiqal Hanafi
Selepas gagal mempersembahkan aksi meyakinkan pada acara 100 meter Terbuka Terengganu Cahya Mata Sarawak Super Series 4, Muhammad Haiqal Hanafi, mengakui masih bergelut dengan kecederaan meniscus pada lutut kanan namun enggan menjadikanya sebagai alasan untuk beraksi sambil lewa menjelang aksi esok.
Biarpun berdepan pelbagai cabaran, namun ketika ini, dia masih bertindak sebagai pendahulu bagi kategori 100 meter lelaki dengan 78 mata, dua mata dipisahkan dengan pencabar di tempat kedua, Jonathan Nyepa yang mengekori rapat.
"Persiapan untuk Terbuka Perlis kurang cemerlang kerana mengalami kecederaan lutut," kata Haiqal.
"Bagaimanapun, saya tetap akan melakukan larian yang terbaik nanti."
Aksi di Perlis esok dijangka sengit dengan perebutan tiga kelompok teratas bersama Jonathan Nyepa dan Muhammad Efrain Feerzan Qhan dalam acara tersebut sebelum menghadapi kejohanan siri terakhir di Sarawak.
Atlet lompat kijang negara, Nurul Ashikin Abas, optimis mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu dalam acara lompat kijang Kejohanan Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Siri 5 biarpun berdepan kecederaan pada bahagian tumit kanan (Calcaneal ligament dan distal soleus).
Dia kini sedang berada pada kedudukan selesa dengan mengumpul 106 mata, perbezaan 43 mata berbanding pencabar di tempat kedua dengan 63 mata sekaligus menyaksikan Ashikin berada di landasan terbaik merangkul juara keseluruhan bagi acara lompat kijang.
Bagaimanapun, sasaran utamanya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan SEA 2025 Thailand dengan lompatan peribadi terbaiknya dalam acara tersebut adalah 13.36 meter yang diraih pada Kejohanan Antara Kolej di Taiwan Mei lalu.