Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata Sarawak: Kelibat Azeem Fahmi rangsang barisan pencabar
Azreena Faizal
Jun 10, 2024 18:49 MYT
Jun 10, 2024 18:49 MYT
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard, meletakkan harapan menggunung buat pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi, melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Paris acara 100 meter mencatat 10 saat ke bawah dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata Sarawak 2024 di Kuantan yang bermula Jumaat ini.
Azeem ketika ini berada di kemuncak prestasi selepas membantu Universiti Auburn memenangi acara 4x100 meter yang dianjurkan Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Oregon, Amerika Syarikat (AS).
Biarpun secara rasionalnya catatan itu sukar untuk dilakukan namun, potensi dan semangat luar biasa pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu tiada batasannya.
Sejak tahun lalu, Azeem secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjadi pelari pertama negara ke Sukan Olimpik secara merit di Paris selepas Watson Nyambek melakukannya di Sydney, Australia pada 2000.
"Azeem akan pulang bertanding berbekalkan prestasi tinggi dengan catatan 38.38 saat.
"Saya menaruh harapan dia akan beraksi cemerlang dalam Terbuka Malaysia selain menaruh harapan untuk layak ke Sukan Olimpik.
"Kehadirannya juga pasti akan memacu semangat pelumba lain," katanya.