OLAHRAGA

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata: Juara 400m lelaki ingin sambung belajar ke Universiti Auburn

Shaiful Shamsudin 15/06/2024 | 11:54 MYT
Juara 400 meter lelaki, Umar Osman, menyifatkan kehadiran Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy menjadi pembakar semangat buatnya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata di Stadium Darulmakmur, hari ini, apabila melepasi catatan masa peribadi musim ini dengan masa 46.27 saat.
Atas kejayaan yang diperolehnya itu, atlet berusia 20 tahun tersebut menyasarkan pingat emas dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) yang berlangsung dari 6 Julai depan hingga 25 Ogos depan, selain akan mengambil ujian test of english as a foreign language (TOEFL) sejurus tamat kempen AUG sebagai usahanya menyertai Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) bagi melanjutkan pelajaran serta pengembangkan lagi karier sukannya.
"Saya perlu kekalkan catatan seperti ini dalam beberapa kejohanan lagi sebelum dapat memecah rekod Malaysia lagi.
"Ada dua lagi baki saingan dan saya bertekad membuktikan kemampuan," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
Tambahnya, meskipun terpaksa melupakan dunia larian selama tujuh bulan susulan kecederaan, Terbuka Malaysia yang juga penampilan ketiganya setelah isu kecederaan tersebut jelas mencetuskan motivasi berbeza buatnya.
"Saya mahu ikut jejak langkah Azeem dan Shereen jadi kehadiran mereka juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk berikan persembahan terbaik di sini.
"Apa pun, saya akan terus memperbaiki teknik dan strategi larian," katanya.
#Olahraga #Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata
;