OLAHRAGA
Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata: Jonah Chang Rigan tekad terus buru rekod lontar peluru kebangsaan
Hari kedua Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 menyaksikan pemilik rekod kebangsaan lontar peluru, Jonah Chang Rigan, tidak menghadapi sebarang masalah untuk merebut pingat emas dengan lontaran sejauh 17.89m.
Meskipun tidak cukup rehat susulan acara lempar cakera yang turut menyaksikannya meraih pingat gangsa malam tadi, namun Jonah tetap berpuas hati dengan aksi yang ditampilkannya.
"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, saya ke mari hanya untuk menikmati kejohanan ini.
"Selepas ini saya akan mewakili Sukma (Sukan Malaysia) Sarawak yang akan menjadi medan kejohanan terakhir buat saya pada tahun ini," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Turut akan membuat penampilan di Sukma Sarawak, Ogos depan, atlet kelahiran Bumi Kenyalang itu menyasarkan untuk memecah rekod kebangsaan yang dimilikinya iaitu 18.46m, sekali gus meraih 3 pingat emas untuk penampilannya yang terakhir temasya itu.
"Jadi saya menyasarkan catatan 18m ke atas dalam lontar peluru.
"Dalam masa sama, saya juga akan menyertai acara lempar cakera dan baling tukul besi.
"Jadi saya mengintai tiga emas Sukma," katanya lagi.